Ucapan Ketua Menteri untuk Majlis Pelancaran Kontrak Komuniti PPR Jalan Sungai - 17 Ogos 2014
Majlis Pelancaran Kontrak Komuniti Program Pembersihan dan Projek Mengecat PPR Jalan Sungai
Ucapan Oleh
Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
untuk
Ahad, 17 Ogos 2014 di Dataran PPR Jalan Sungai
YB Chow Kon Yeow, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir; dan juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Projek Perintis Bajet Responsif Gender dan Partisipatori (GRPB)
YB Puan Chong Eng, Ahli EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Pulau Pinang, dan juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC)
Yang Berhormat YB Lim Siew Khim, ADUN Sungai Pinang
YB-YB DUN dan Parlimen
YB Dato’ Patahiyah Ismail, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)
Yang Berusaha Ahli-ahli Majlis dan Ketua-ketua Jabatan MPPP
Yang Berusaha Ahli-Ahli Lembaga Pengarah PWDC
Yang Berusaha Puan Aloyah Bakar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PWDC; dan Pengarah Projek Perintis GRPB
Yang Berusaha Encik Shahrudin Mohd Sharif, Pengerusi Pertubuhan Komuniti PPR Jalan Sungai
Ahli Jawatankuasa JKKK Kampung Maqbul
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti PPR Jalan
Rakan-rakan media yang saya dihormati
Penduduk PPR Jalan Sungai yang saya raikan.
Selamat pagi dan salam sejahtera kepada semua.
Saya sangat gembira dan berbesar hati kerana berkesempatan untuk datang pada hari ini untuk berjumpa dengan penduduk Flat PPR Jalan Sungai bagi menjayakan Majlis Pelancaran Kontrak Komuniti Program Pembersihan dan Projek Mengecat Bangunan Flat PPR Jalan Sungai.
Kali terakhir saya datang ke sini adalah pada 10 March 2013. Pada waktu itu saya membuat pelancaran projek mengecat untuk Flat PPR Jalan Sungai sebaik saja bajet diluluskan di peringkat Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Pada waktu itu, suasana tempat ini kusam dan tidak ceria. Tetapi pada hari ini, dengan warna cat baru, suasana tempat ini telah menampakkan perubahan yang sangat ketara.
Para hadirin sekalian,
Persekitaran yang bersih dan ceria di kawasan tempat tinggal akan memberikan impak yang positif kepada penghuninya. Projek mengecat bangunan flat di PPR Jalan Sungai ini jelas memberikan nafas baru kepada penduduk di sini. Untuk makluman semua, Flat PPR Jalan Sungai ini kelihatan tersergam indah dari jendela KOMTAR berbanding dengan bangunan-bangunan lain kerana warnanya yang menarik. Penduduk PPR Jalan Sungai bijak menggunakan kuasa yang diberikan kepada anda. Anda semua telah membuat pemilihan warna cat yang anda sukai bagi tempat kediaman anda melalui proses partisipatori iaitu undian penduduk. Tahniah saya ucapkan kepada penduduk PPR Jalan Sungai. Ternyata pilihan warna cat ini menarik, segar dan sedap mata memandang!
Para hadirin sekalian,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat mementingkan kebersihan Negeri Pulau Pinang. Kebersihan melambangkan peribadi seseorang. Oleh yang demikian, kebersihan di sesebuah negeri melambangkan rakyatnya. Saya amat mengalu-alukan pendekatan kreatif dan lestari untuk menangani isu kebersihan ini. Pada hari ini di tempat kediaman anda, satu inovasi baru telah dilakukan untuk mengatasi isu kebersihan di mana satu Kontrak Komuniti Program Pembersihan di PPR Jalan Sungai telah dijalankan dengan jayanya.
Kontrak Komuniti adalah hasil proses partisipatori iaitu dialog dalam Kumpulan Tumpu-Bincang dan Undian Penduduk yang telah dijalankan di bawah Projek Perintis Bajet Responsif-Gender dan Partisipatori dengan penduduk di PPR ini sejak 2012. Kontrak Komuniti ini adalah yang julung kalinya dijalankan di Pulau Pinang, mahupun di Malaysia. Kejayaan pendekatan ini adalah seperti yang anda lihat sendiri dan nikmati pada hari ini. Dulunya kotor dan tidak terurus, tetapi pada hari ini tidak lagi. Ini menunjukkan apabila kepercayaan dan tanggungjawab diberikan kepada penduduk untuk bertindak sebagai rakan-kongsi Kerajaan Negeri dan untuk menjaga kebersihan tempat tinggal mereka, transformasi positif akan terhasil.
Para hadirin sekalian,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Perbadanan Wanita Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah menjalankan Projek Perintis Bajet Responsif-Gender dan Partisipatori di PPR Jalan Sungai untuk mecapai visi dan aspirasi tersebut. Besar harapan saya untuk menjadikan PPR Jalan Sungai ini sebagai salah satu model pembangunan masyarakat untuk diikuti oleh komuniti lain di Pulau Pinang.
Untuk tujuan tersebut, sebagai tanda komitmen kami, Kerajaan Negeri dan MPPP lebih dari 2.3 Juta Ringgit telah dibelanjakan di PPR Jalan Sungai sejak Projek Perintis ini dijalankan pada tahun 2012 sehingga 2014 yang merangkumi:
1. Pembersihan RM278,462.00
2. Penyelenggaran Lif-Lif Bulanan RM113,400.00
3. Pembaikan lif-lif RM108,752.00
4. Kerja-kerja Pembaikan Flat RM741,011.00
5. Kerja Mengecat Semula RM700,000.00
6. Kelengkapan sistem pencegahan kebakaran RM123,400.00
7. Projek dan program bersama penduduk (Projek Perintis GRPB) RM250,000.00
Jumlah keseluruhan RM2,315,025.00
Proses yang anda lalui projek ini bertujuan untuk melatih dan memperkasakan komuniti dan pada masa yang sama untuk menjadi rakan kongsi kepada kerajaan tempatan dalam pembangunan negeri. Ia bertujuan untuk mewujudkan perhubungan dua hala di antara penduduk dan kerajaan tempatan dan menggalakkan rakyat untuk turut sama terlibat dalam proses perancangan, pembuatan keputusan dan perlaksanaan sesuatu projek rakyat.
Proses ini akan mewujudkan perhubungan yang baik di mana kerajaan tempatan menjadi lebih responsif kepada keperluan berbeza di kalangan komuniti yang berlainan lantas kerajaan lebih cekap membuat keputusan dan efektif dalam ketetapan bajet yang releven kepada keperluan rakyat.
Baru-baru ini Pulau Pinang di bawah Projek Perintis Bajet Responsif-Gender dan Partisipatori telah mendapat penghormatan untuk menerima anugerah khas Juri ‘Amalan Terbaik dalam Partisipasi Rakyat’ (Best Practice in Citizen Participation) di International Observer Participatory Democracy (IOPD) Ke-8 di Brazil.
Saya ingin merakamkan terima kasih kepada pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang kerana memberi komitmen yang padu sebagai pemberi perkhidmatan yang responsif kepada penduduk di sini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada PWDC di bawah EXCO Wanita menerajui Projek Printis ini.
Terima kasih kepada JKKK Kampung Maqbul dan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti PPR Jalan Sungai di atas kerjsama yang diberikan terhadap projek ini.
Akhir sekali kepada semua penduduk PPR, saya ucapkan sekali lagi, tahniah dan syabas! Saya rasa belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada yang merayakannya.
Saya dengan rasa bangga dan gembira melancarkan Kontrak Komuniti Pembersihan PPR Jalan Sungai dan Projek Mengecat Flat PPR Jalan Sungai.